Laman utama UMNO Bahagian Besut
Maklumat mengenai UMNO Bahagian Besut, Terengganu
PDF Print E-mail

Rakyat perlu penjelasan Konsep 1Malaysia

PULAU PINANG 2 Ogos - Kerajaan perlu menjalankan program penerangan secara menyeluruh bagi memperjelaskan konsep 1Malaysia secara terperinci kepada seluruh masyarakat berbilang kaum di negara ini bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, langkah itu amat penting bagi memastikan konsep tersebut tidak disalah tafsir dan digunakan untuk kepentingan pihak tertentu sehingga menimbulkan suasana tidak harmoni di dalam negara.

Menurutnya, sehingga kini semua kaum mempunyai tafsiran sendiri berkenaan konsep itu sehingga menimbulkan banyak pandangan dan pendapat berbeza terutama berkenaan maksud sebenar konsep itu seperti yang diilhamkan penciptanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Saya sering bercakap dengan orang Cina dan orang Melayu. Masing-masing mempunyai pendapat dan pendapat ini tidak boleh di satukan. Jadi, saya fikir, satu pendirian perlu dibuat.

''Mereka tidak tahu yang mana satu betul, sama ada yang Melayu punya tafsiran ke atau yang Cina punya ke yang betul. Mereka sering tanya saya, saya kata saya tidak tahu kerana bukan saya yang buat.

''Jadi pemahamannya perlu diperjelas. Saya khuatir, jika kekeliruan ini tidak ada penjelasan, akhirnya rakyat minta bukan-bukan, minta kesamarataan, minta peruntukan sama banyak untuk bina masjid, kuil atau tokong. Inilah yang saya bimbang," katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Majlis Multaqa Bersama-sama Guru-guru Pendidikan Islam dan Warga Perkim Peringkat Zon Utara di Kompleks Tabung Haji, Bayan Lepas di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung Perkim, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Menurut Dr. Mahathir, Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib merupakan satu konsep yang baik dan amat mementingkan perpaduan seterusnya membawa keharmonian di dalam negara.

Bagaimanapun, katanya, jika konsep itu disalahtafsirkan, ia boleh menyebabkan wujudnya suasana yang tidak elok di kalangan rakyat.

 

Tokoh agama minta Nik Aziz buang ego

PENGKALAN KUBOR 2 Ogos - Dua tokoh agama di negeri ini mendesak Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya membuang ego dan dendam untuk menyatukan UMNO dan Pas demi perpaduan umat Islam dan orang Melayu di negara ini.

Mudir Pondok Pak Krau, Mohamad Zainal Abidin Awang dan Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa'amah yang juga ahli Pas berpendapat, tiada sebab untuk Menteri Besar itu terus menghalang perpaduan antara kedua-dua parti berkenaan ketika umat Islam diancam daripada pelbagai sudut.

Mohamad Zainal Abidin berkata, usaha untuk menyatukan kedua-dua parti tersebut di meja rundingan harus dilakukan secepat mungkin memandangkan kekuatan orang Melayu hampir pupus berdasarkan senario politik masa kini.

Beliau berkata, Nik Abdul Aziz wajib menerima perpaduan dengan UMNO kerana parti tersebut sentiasa mendukung Islam dan tidak pernah menghalang perkembangan agama suci itu, malah menggalakkan rakyat di negara ini mengamalkannya.

"Kenapa Pas tidak boleh bersatu dengan UMNO, atas alasan apa? Jika dibandingkan UMNO dengan Pas, UMNO lebih banyak membangunkan Islam, lihat sahaja di negeri ini, siapa yang buat masjid, sekolah, hospital dan jalan raya.

"Kita kena betulkan persepsi, Pas bukan Islam, Islam bukan Pas. Kalau mereka benar-benar mendokong Islam, Nik Abdul Aziz perlu menyokong usaha perpaduan dengan UMNO tidak kira apa cara sekali pun," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan mencadangkan supaya Pas dan UMNO melupakan persengketaan melalui satu pelan damai demi perpaduan umat Islam di negara ini.

Bagaimanapun, Nik Abdul Aziz dalam reaksinya menolak cadangan tersebut dengan memberikan alasan perbezaan dasar di antara kedua-dua parti itu tetapi pada masa yang sama mempertahankan kerjasama Pas dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) biar pun berbeza cita-cita.

Mohamad Zainal Abidin berkata, pada masa ini tidak timbul mengenai dasar UMNO atau Pas kerana agenda yang lebih penting ialah penyatuan umat Islam dan orang Melayu.

"Kita lihat di akhbar dan televisyen setiap hari ada tuntutan untuk menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu. Kita harus sedar bahawa umat Islam sedang diancam, hanya perpaduan dapat menyelamatkan kita daripada terus ditekan oleh musuh Islam," katanya.

Abdullah pula berkata, mengikut hukum Islam, menolak perpaduan seseorang itu boleh menjadi fasik kerana Allah dan Rasulullah mewajibkan umat Islam bersatu padu.

"Dalam konteks negara ini, perpaduan terbahagi kepada tiga iaitu pertama, menzahirkan ketuanan dan keistimewaan Melayu; kedua, perpaduan semua kaum seperti konsep 1Malaysia dan ketiga, perpaduan kesamarataan.

"Perpaduan yang ketiga tidak boleh diterima kerana dalam Perlembagaan negara telah termaktub hak-hak keistimewaan orang Melayu hasil pengorbanan orang Melayu sebelum merdeka, jadi kita tidak boleh terikut-ikut cara DAP yang akan menghancurkan umat Islam dan Melayu.

"Oleh itu, saya menyeru kepada Nik Abdul Aziz dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya menerima perpaduan dengan UMNO demi umat Islam dan orang Melayu. Hari ini tiada lagi perbezaan dasar di antara Pas dengan UMNO," katanya.

 

“Melayu Cemerlang” dicadangkan jadi slogan baru UMNO

20/06/2010 5:43pm

BESUT 20 Jun — Slogan Umno ”Hidup Melayu” dicadang diubah kepada ”Melayu Cemerlang” agar relevan dengan suasana dan perkembangan negara masa kini.

Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, dalam era inovasi dan kreativiti, slogan Melayu Cemerlang diyakini lebih sesuai untuk menggerakkan orang Melayu supaya mampu bersaing dengan bangsa-bangsa lain yang kini lebih ke hadapan.

"Slogan Hidup Melayu lebih menjurus kepada membina asas perjuangan dan kekuatan bangsa Melayu di era sebelum dan selepas kemerdekaan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Wanita Dalam Organisasi di Bangunan Umno Bahagian Besut di Jerteh, hari ini.

Slogan baru itu dicadangkan oleh Umno Bahagian Besut. Bagaimanapun menurutnya, suasana kini telah banyak berubah dan usaha berterusan memperkasa dan memartabatkan orang Melayu perlu dibuat menerusi pendekatan yang lebih realistik. — Bernama


 


Laman web ini dibangunkan oleh AFI PCMASTER NETWORK (TR0057495-A) untuk kegunaan UMNO Bahagian Besut, Terengganu
Copyright © 2010 Laman Web Rasmi UMNO Bahagian Besut. All Rights Reserved.
Joomla! is Free Software released under the GNU/GPL License.
 

Pelawat

We have 3 guests online

Statistik

OS : Linux a
PHP : 5.2.5
MySQL : 5.0.51a
Time : 01:55
Caching : Disabled
GZIP : Enabled
Members : 2
Content : 213
Content View Hits : 57849